Skuter Elektronik : Beam vs Tryke | Penggunaan dan Larangan

Hi semua. Salam lebaran diucapkan kepada semua pembaca yang beragama Islam. Diharapkan, walaupun kita sedang dalam fasa PKP ni, sambutan raya semua orang masih meriah walaupun berada di perantauan. Tapi, apa yang Mya nak tulis hari ni, tak ada kaitan langsung dengan raya. Disebabkan ada yang bertanya dan ingin tahu mengenai skuter elektonik ni lepas tengok instagram story Mya sebelum ni, Mya khaskan entry kali ni untuk bercerita tentang dua jenama yang kini mula naik di pasaran skuter elektronik ni, iaitu Beam dan TRYKE. Best sangat ke ride skuter ni? Namun, sebelum kita bercerita lebih jauh mengenai cara penggunaan dua jenama skuter elektrik (e-scooter) ini, Mya nak share dulu serba sedikit mengenai jenama ni sendiri. Keep reading, ya!


Macam yang semua orang perasan, pasaran e-scooter kat Malaysia ni belum meluas mana pun. Beam dan Tryke sendiri pun sekarang tengah perlahan-lahan cuba masuk pasaran. Korang boleh nampak e-scooter Beam (warna ungu) ni kat hampir semua pelusuk bandar raya Kuala Lumpur, berbanding Tryke (warna kuning) yang cuma ditempatkan di Cyberjaya (buat masa ini). Tapi, untuk pengetahuan semua, Tryke ni sebenarnya adalah jenama tempatan tau. HQ Tryke ni terletak di Cyberjaya. Hence, coverage bagi Tryke ni bertumpu di Cyberjaya saja. Mungkin bagi memudahkan pantauan mereka sendiri.

Larangan

Sebelum Mya nak ajar benda yang sepatutnya, Mya nak beritahu dulu segala larangan yang ada untuk penggunaan kedua-dua jenama e-scooter ini. Perkara ni perlu diingati supaya korang tak didenda oleh pihak berkuasa atau oleh pihak e-scooter sendiri. Nak berseronok pun perlu beringat, ya? Padahnya, kita sendiri yang menanggung.

Pertama, korang perlu elakkan untuk menunggang e-scooter di atas jalan raya. Sebaiknya, korang gunalah laluan basikal. Tapi, kalau tak ada, bolehlah masuk ke laluan pejalan kaki. Cuma, tolonglah berhati-hati kalau nampak ada penunggang lain atau pun pejalan kaki berhampiran. Sama-sama bertoleransi. Elakkan masuk ke kawasan hotel atau mall, terutamanya sekitar Pavilion dan beberapa hotel mewah sekitar Bukit Bintang. Nanti, tak memasal je korang kena hambat dengan pak security. Maluuu.

Benda lain yang perlu korang elak dari buat adalah letak e-scooter bukan pada tempatnya. Sebaiknya, korang refer terus pada aplikasi di mana stesen atau kawasan parking yang betul. Perkara ni bukan semata memudahkan pengguna lain yang nak menunggang e-scooter ni, malahan memudahkan pihak pengurusan sendiri yang perlu mengutip e-scooter untuk pengecasan semula bateri. Perihal parking bukan pada tempat sepatutnya ni ada disebut dalam aplikasi sebenarnya, yang mana cas tambahan RM2.50 akan dikenakan sebagai denda kepada penunggang yang culas meletakkan e-scooter pada stesennya.

Penggunaan

Sebelum korang dapat menunggang e-scooter ni, korang perlu memuat turun dan memasang (install) aplikasi berkaitan di telefon korang dulu. Bagi pengguna iPhone, korang boleh cari 'Beam - Escooter Sharing' atau 'TRYKE' di App Store. Untuk bahagian ini, Mya akan tunjukkan perbezaan antara kedua-dua aplikasi secara bersebelahan.


Selesai je korang install, untuk first time user, korang akan dipaparkan dengan interface macam di atas ni. Korang perlukan daftarkan no telefon untuk memudahkan pihak e-scooter menghantar code melalui SMS kepada korang. Kelainan antara Beam dan Tryke adalah, di dalam Beam, korang perlu isi dahulu profile selengkapnya sebelum boleh meneruskan dengan langkah seterusnya iaitu link-kan kad atau topup wallet dalam aplikasi.


Harga

Kadar harga bagi setiap e-scooter adalah bergantung kepada tempoh penggunaan. Beam mengenakan kadar 60 sen/minit, manakala Tryke pula pada 50 sen/minit. Korang perlu link-kan kad debit atau kredit kepada wallet yang ada di dalam aplikasi sebelum penggunaan, ya. Dengan Beam, korang boleh dapat RM 2.50 untuk setiap kawan yang masukkan referral code korang semasa pendaftaran. Beam akan potong daripada nilai yang ada dalam wallet dulu sebelum caj ke atas kad dikenakan.


Kalau Beam ada referral code, apa pulak kelainan pada Tryke, kan? Sadly, feature 'Share to Friends' ni tak ada dalam Tryke pada saat dan ketika entry ini ditulis. Manalah tahu pada masa akan datang, wujud pulak kan? Tapi, yang menariknya dalam aplikasi ni adalah Tryke menawarkan pas khas untuk penggunaan secara harian (24 jam) hanya pada RM 29.00 sahaja. Alamak, saya ada pasanganlah Mya. Macam mana ni? Bolehhhh. Tryke ada pakej khas di mana penunggang boleh gabungkan dua e-scooter dalam satu app untuk penggunaan selama 24 jam pada harga RM 50.00. Lagi jimat, kan?


Kawasan Liputan (Coverage Areas)

Bagi yang berminat nak gunakan Beam, korang boleh cuba mencari di sekitar Kuala Lumpur. Hampir setiap sudut boleh nampak e-scooter ni; berhampiran Hotel Grand Hyatt, Menara KLCC, Restoran Pelita, Menara Bank Islam, Setapak, Bangsar dan banyak lagi. Makluman terkini, Beam juga kini berada di sekitar Shah Alam Convention Center dan Stadium Shah Alam.

Manakala, untuk pengguna Tryke, stesen e-scooter ini boleh ditemui di beberapa landmark sekitar Cyberjaya seperti Tamarind Square dan DPulze Shopping Center. Cara nak semak lokasi dan bateri untuk e-scooter pun mudah. Apabila korang masuk di dalam kawasan liputan, simbol e-scooter akan muncul di skrin. Klik saja pada simbol, segala maklumat berkaitan akan terpapar. Tempat letak e-scooter juga ada dipaparkan. Jadi, tidak akan ada masalah tidak tahu di mana perlu parking.


Untuk gunakan e-scooter, korang cuma perlu klik pada butang 'Start Trip' atau 'Unlock' (bergantung kepada aplikasi). Skrin kemudiannya akan membuka kamera untuk korang scan QR Code yang ada pada bahagian handle scooter. Jika berjaya, monitor pada scooter akan menyala dan memaparkan angka kelajuan. Ini bermakna, korang dah boleh terus guna. 

Dah naik atas scooter, macam mana nak bagi bergerak?
Korang boleh tengok dalam gambar di atas yang pada bahagian handle ada dua komponen penting yang korang kena ambil tahu. Accelerator dan brek. Untuk menggerakkan scooter, korang kena tolak dulu skuter dengan kaki sebelum kemudiannya mengawal kelajuan dengan accelerator. Bentuk accelerator ni macam loceng basikal yang gunakan tuil. Jangan risau kalau-kalau korang terlebih tolak accelerator tu. Sebab kelajuan maksima scooter ni cumalah pada 20-25 km/h saja. Pasal brek, rasanya Mya tak payah terangkan pun semua dah tahu. Cuma bezanya, Beam ada satu brek, Tryke ada dua.


Mya tak pernah cuba eksperimen dengan Beam disebabkan kawasan liputannya yang agak luas. Tapi, kalau korang menggunakan Tryke, setiap kali korang berada di luar kawasan liputan, Tryke akan memberi notifikasi dan e-scooter korang pun akan berhenti berfungsi. Jangan ingat korang boleh angkut masuk kereta bawak balik rumah pulak. Melainkan kalau rumah korang berada dalam kawasan. Tapi, jangan cuba-cuba ya. Sebab setiap kali selepas selesai main, korang perlu klik butang 'End Trip' dan ambil gambar scooter yang berada di parkingnya. Selagi korang tak tamatkan penggunaan, cas akan terus berjalan ke atas akaun atau kad korang.

Rasanya dah panjang sangat entry pasal e-scooter kali ni. Bagi korang yang nak tahu lebih lanjut, atau ada yang tak faham di mana-mana bahagian, boleh terus komen ataupun tinggalkan mesej di mana-mana akaun media sosial Mya. Yang kenal rapat tu, Whatsapp je bila-bila mahu. Yang mana Mya boleh jawab, Mya akan jawab. Sementara tu, boleh la usha kami main Beam tempoh hari di Reels ni. Adios!

0 pendapat bernas .